Penduduk Taman Bukit Belimbing, Balakong, Serdang mengharapkan agar mimpi ngeri krisis air yang dihadapi mereka akan berakhir selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri,

Krisis air yang melanda penduduk kawasan itu selama tiga bulan bermula Mei sebelum ini menjadi mimpi ngeri apabila rata-rata penduduk yang ditemui Malaysiakini melahirkan rasa bimbang ekoran kehidupan seharian mereka terjejas.

Masalah kali ini, bagi mereka, jauh berbeza dengan sebelumnya yang hanya berlaku beberapa hari. Mereka juga mendakwa tidak diberikan memo peringatan awal seperti selalu.

Rata-rata penduduk berharap, setelah berhimpun dua kali  di hadapan pejabat Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) Kajang bagi mengetengahkan masalah mereka, bekalan yang kini konsisten bermula 6 Ogos lalu diharapkan berterusan.

NONEBagaimanapun. bagi seorang penduduk di kawasan itu, Chin
Hing Ging, masalah yang melanda perumahan itu mungkin mempunyai kaitan masalah politik.

"Lebih baik elektrik tak ada tak apa. Air tak ada susah. Saya ingat ini politik punya hal. Pasal Selangor punya hal. Rumah saya ada 10 orang (penghuni). Saya ada tujuh anak. Setiap malam perlu berjaga nak angkat air. Sampai pinggang pun sakit," kata Chin, 42, ketika ditemui Malaysiakini baru-baru ini.

Enggan buka paip

Mekanik itu juga berkata, setelah lapan tahun menginap di Balakong, ini kali pertama masalah berpanjangan itu berlaku berlaku.

"Dulu baiki paip satu hari boleh lah terima. Ini sampai tiga, empat bulan. Kalau boleh lepas ini air hari-hari ada," kata pengusaha bengkel kereta itu lagi.

NONESementera itu, seorang lagi penduduk yang hanya mahu
dikenali sebagai Munu berkata, beliau hairan kenapa bekalan air ke kawasan itu akan teratur hanya setelah mereka mengadakan demonstrasi.

"Dah 15 tahun (tinggal di sini) tak pernah alami macam ini. Hari Ahad lepas (5 Ogos) kita buat demonstrasi, esoknya (6 Ogos) terus ada air. Pelikkan?" kata Munu, 43, yang ditemani isterinya Sumitha.

Munu dan Sumitha antara penduduk yang menyokong pemgambilalihan SYABAS oleh kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat.

Memandu sejam untuk membasuh

Bagi seorang pesara TNB, Rahim Jabba pula, beliau berharap SYABAS pada masa akan datang dapat memberikan penjelasan konkrit terhadap masalah itu, termasuk menyediakan notis gangguan lebih awal supaya penduduk dapat bersedia.

"Sekurang-kurangnya kalau bagi notis kita boleh simpan air," kata Rahim, 58, yang sudah mengenap di situ selama 18 tahun.

Menceritakan masalanya sebelum ini, Rahim berkata, ketiadaan bekalan air itu menyebabkan mereka terpaksa memandu kira-kira sejam setiap hari untuk mendapatkan bantuan anaknya di Petaling Jaya.

"Bila nak membasuh kena pergi rumah anak di Petaling Jaya. Kalau tak ada air susah. Kita bukan boleh buat perigi macam
dekat kampung. Saya harap pemerintah akan datang akan dapat buat yang terbaik supaya air akan berterusan," katanya.

NONESementara itu, pekerja sektor awam yang yang hanya mahu dikenali sebagai Siti Aminah berkata, selain membataskan aktiviti harian, masalah ketiadaan air juga menyulitkannya menghadapi Ramadan.

"Sekarang ini bulan puasa. Kalau makanan pun beli sahaja sebab nak basuh susah. Sekarang ini dah ada air, saya harap kekal sampai raya nantilah," kata Siti Aminah, 25, lagi.