Social Icons

Pages

Rabu, 01 Januari 2014

Proton Sasar Jual Suprima S 750 Unit Sebulan


KUALA LUMPUR – Proton Holdings Bhd menetapkan sasaran permulaan untuk menjual 750 unit model yang baru dilancarkannya, Proton Suprima S, sebulan dalam pasaran tempatan.

Bagaimanapun, Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Mohd Khamil Jamil, menjangkakan jualan mungkin melebihi sasaran disebabkan oleh permintaan semasa bagi kereta-kereta ‘hatchback’ daripada pelanggan muda.

“Kami juga menyasarkan pasaran eksport secepat mungkin, mungkin dalam tahun ini.

“Buat sementara waktu ini, kami menyasarkan pasaran-pasaran dalam Asia Pasifik, dan barangkali akan bermula dengan rantau Asia seperti Indonesia, Thailand dan Australia,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran kereta itu di sini hari ini.

Bagaimanapun, kata beliau, pembuat kereta itu akan memastikan ia memenuhi permintaan bagi Proton Suprima S daripada pelanggan domestik terlebih dahulu sebelum kereta itu dieksport ke pasaran seberang laut.

Proton Suprima S dilancarkan oleh Penasihat Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini. Turut hadir pada pelancaran itu ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Lukman Ibrahim, yang dilantik semula ke jawatan itu baru-baru ini.

Dalam ucaptama beliau, Dr Mahathir berharap dengan pelancaran Proton Suprima S, tanggapan orang ramai bahawa Proton mengeluarkan kereta berkualiti rendah dapat dikikis.

Kata beliau, pembuat kereta nasional itu telah menghasilkan kereta-kereta yang menepati piawaian antarabangsa dan rakyat Malaysia seharusnya berbangga dengannya.

Proton Suprima S boleh didapati dalam dua varian, ‘Executive’ dan ‘Premium’, dengan harga di atas jalan bagi Semenanjung Malaysia masing-masing ditetapkan pada RM76,338 dan RM79,638.

Mohd Khamil berkata dengan kos pembangunan sebanyak RM200 juta, Proton telah memulakan kegiatan prapengeluaran seperti kajian meluas, bukan hanya di dalam negara malah juga pada skala antarabangsa, khususnya dalam pasaran-pasaran utama tempat kereta itu akan dilancarkan.

“Di samping itu, kita melibatkan vendor dan wakil jualan kita dalam pembangunan kereta ini pada peringkat awal…malah ada penglibatan menyeluruh dan juga komitmen penuh dari semua pihak untuk menjamin kefahaman,” tegasnya. – BERNAMA


Tidak ada komentar:

Posting Komentar